Saya rasa bertuah bila saya mendapat peluang menetap di Dubai. Sebelum sampai ke Dubai, saya selalu makan Nasi Daging tetapi tidak pernah ada hajat untuk membuatnya sendiri. Apabila saya sampai disini maka saya harus belajar membuatnya kerana nasi ini adalah kegemaran ahli keluarga.
Setelah mencuba berkali-kali, saya rasa resepi ini boleh diguna pakai untuk masa hadapan.
Air Asam
Selain air asam, acar juga memainkan peranan. Saya selalunya akan buat acar mentah seperti dalam gambar dan kadang-kadang atas permintaan saya akan buat acar rampai. Walau bagaimana pun kedua-dua acar ni menepati selera apabila kita makan nasi daging. Selain acar, dalcha juga penting.
Dalcha ini saya belajar dari seorang sahabat yang sama-sama menetap di Dubai. Aini Sabira, sekarang sudah berpindah ke Qatar. Dia memang pandai masak makanan orang utara Semananjung Malaysia.
Bahan-bahan untuk Nasi Daging
- 5 cawan beras basmati (beras biasa pun boleh)
- 1 1/2kg daging lembu
- 3 labu bawang besar (saiz sederhana)
- 1 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 3 sudu besar rempah kurma
- 3 sudu besar minyak untuk menumis
- garam secukup rasa
Cara membuat:
- Kalau kita menggunakan beras basmati maka beras tersebut hendaklah direndam terlebih dahulu sekurang-kurangnya selama satu jam. Kalau beras biasa tak perlu direndam, cukup mencuci beras sahaja.
- Daging tadi hendaklah direbus sehingga empuk dan air rebusan daging akan digunakan untuk memasak nasi. Oleh kerana saya menggunakan beras basmati dan beras tersebut sudah pun direndam dan lembut maka saya hanya perlukan air rebusan yang sedikit sahaja, iaitu air tadi bila dimasukkan kedalam beras akan sama banyaknya(sama paras) dengan beras tadi.
- Bawang besar, halia dan bawang putih hendaklah dikisar dan ditumis sehingga naik baunya. Masukkan beras dan kacau biar sampai rata dengan bahan tumisan tadi. Baru masukkan air rebusan daging, pastikan sama paras dengan nasi. Tetapi kalau menggunakan beras biasa, airnya haruslah seperti biasa.
- Masukkan rempah kurma dan garam. Kacau hingga rata. Tutup periuk dan biarkan nasi masak. Saya tidak tumis rempah kurma, tetapi kalau nak tumis boleh juga. Tetapi nasinya nanti akan gelap sedikit. Saya tidak suka nasi yang gelap.
Bahan-bahan Air Asam
Bahan-bahan
- 5 biji tomato
- 5 biji bawang besar
- 5 biji cili hijau
- cili api mengikut citarasa
- cili sos mengikut citarasa
- 2 sudu besar belacan tumbuk
- 2 sudu besar kerisik
- asam jawa mengikut citarasa
- garam dan gula secukupnya
- Hiris tomato, cili dan bawang nipis-nipis. Campukan semua bahan-bahan diatas dan gaulkan sehingga rata. Kalau kita rasa airasam tersebut sudah cukup masam, masin, manis dan pedas.....maka cukuplah. Kalau masih kurang tambahlah bahan-bahan yang diperlukan.
- Nasi Daging kalau dimakan panas-panas memang sedap. Daging rebus tadi dihiris dan digaul bersama air asam dimakan waktu tengahari memang ummpph!! Selamat menjamu selera..