Baru-baru ni masa balik ke Kuala Lumpur, saya telah bertemu dengan mak saudara sebelah suami. Rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, hampir satu jam mencari rumahnya padahal kawasan tersebut sudah pun kami lintas beberapa kali. Rumah mak Cik Pora, kalau nak pergi sekali lagi ...dah tau dah. Sampai saja di rumahnya kami di jamu dengan Laksa Utara. Saya ni kurang suka laksa utara tapi Kuih Apam tepung berasnya memang sedap. Sambil bersembang tu Mak Cik Pora pun bercerita tentang Roti Canai. Dia menceritakan bahawa dia dahulunya membuat roti canai untuk dijual. Lalu dia memberikan resepi Roti Canai kegemaran pelanggannya. Mengikut Mak Cik Pora kalau nak makan roti canai ini cepat, tambahlah mentega kalau tidak, mentega tak diperlukan. Tapi, mulanya saya ubah sikitlah resepinya, saya tambah sebiji telur kerana Pn Azizah Bahari(isteri Chef Mohamad Ali Kunhi)menasihatkan supaya tambah telur, tepungnya akan lebih lembut nanti. Saya dah cuba, memang lembut. Masalahnya, bila kita guna telur, tepung yang ditebar mudah koyak sebab terlalu lembut.
Bahan-bahan :
600g tepung gandum
3 sudu besar susu pekat manis
1 sudu besar mentega
500ml air
1 sudu kecil garam
Cara membuat :
Campurkan semua bahan dalam satu bekas. Gaulkan sehingga bahan-bahan tadi rata. Tuangkan air sedikit demi sedikit dan gaulkan. Gaul sehingga bahan-bahan tadi sebati dan menjadi doh yang lembut, tidak perlu diuli lagi. Biarkan doh tadi selama 10 minit dan tutup dengan kain. Kemudian baru diuli selama 5 minit dan biarkan lagi selama 10 minit. Ulang proses ini sebanyak 3 kali. Setelah selesai diuli, bulatkan doh tadi seberat 150g (lebih kurang sebesar penumbuklah). Bila selesai proses tersebut saya tuangkan minyak masak dalam bekas tepung roti canai tadi dan saya tutup dengan plastik. Kemudian saya simpan semalaman.
Esoknya baru saya tebar tepung tadi untuk membuat roti canai. Anak-anak ada yang order roti telur, roti sardin dan roti pisang. Selebihnya saya buat roti canai bulat (cara yang mak ajar saya masa kecil2 dulu). Roti-roti ini saya masak sedikit dan kemudian saya pek dalam plastik. Simpan dalam freezer untuk anak-anak buat breakfast nanti.
0 comments:
Post a Comment