February 27, 2010

Resepi Pengat Pisang

Kalau di Malaysia ada pisang tanduk. Tapi disini tak ada, so saya jumpa pisang dari India..Yellow Banana. Rasanya macam pisang tanduk cuma saiznya kecil sedikit. Apabila dibuat pengat atau digoreng bersama tepung, rasanya tak ubah seperti pisang tanduk.

Bahan-bahannya:

- 5 biji Yellow Banana
- 1 cawan gula
- 1 cawan santan pekat
- 2 helai daun pandan
- 3 cawan air
- 3 sudu biji sagu (sagu mata ikan)
- garam secukupnya

Cara membuatnya:

Hiris pisang secara melintang setebal 1 1/2cm dan masak bersama air. Letakkan daun pandan sekali. Apabila air sudah mendidih, masukkan biji sago dan masak pada api sederhana. Apabila sago sudah masak(menjadi jernih) masukkan gula. Masak sehingga gula hancur. Selepas itu ditambah santan dan garam secukup rasa.

Kami sekeluarga suka menikmati pengat pisant ini bersama roti Baguette. Sesuai sebagai hidangan minum petang.

February 25, 2010

Sushi

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada Chef Mohamad Ali Kunhi, The Saffron at Atlantis The Palm. Beliau telah memperkenalkan makanan ini kepada saya. Walaupun sebelum ini anak-anak saya semua suka Sushi. Saya memang tidak berminat pada masakan dari Negeri Matahari Terbit ini. Tetapi selepas menikmati sushi di Saffron, saya menjadi suka pada sushi. Di Dubai tak banyak restoran sushi. Oleh kerana nak mencuba kelainan, saya dan keluarga telah pergi ke restoran sushi di Festival City, Dubai. MasyaAllah, mahal sungguh harganya. Saya berazam untuk belajar membuat sushi. Anak saya yang sulong memang berminat dalam bidang masakan dan dia telah berusaha untuk membuat sushi ala Melayu. Alhamdulillah....kami tak perlu ke restoran sushi lagi. Kami akan buat sendiri dirumah.

Bahan-bahannya:

- 3 cawan beras sushi
- 5 cawan air
- 4 sudu besar cuka untuk nasi sushi
- 1 sudu besar gula
- sedikit garam
- timun dan karot (dipotong halus secara memanjang)
- tuna atau ikan salmon (dipotong panjang-panjang)
- roasted seaweed (10 keping)
- kicap sushi dan wasabi
- jeruk halia

Cara membuatnya:

Masak beras sushi. Saya gunakan beras Egypt juga sebab beras sushi ni mahal dan susah nak jumpa. 3 cawan beras Egypt tu saya masak dengan air yang banyak. Bila saya dapati nasi tadi sudah masak..saya buang airnya. Biarkan diatas api yang sederhana sehingga kering. Keluarkan nasi dan letak dalam pinggan supaya cepat sejuk.

Sementara itu campurkan cuka gula dan garam. Kacau sehingga larut bahan-bahan tersebut. Tuangkan keatas nasi sedikit demi sedikit dan gaul sehingga rata. Ambil satu senduk nasi dan ratakan di atas roasted seaweed (pilih yang hitam pekat kerana lebih rangup dan sedap). Susun karot, timun dan tuna secara memanjang di atas nasi. Saya akan tambahkan mayonis kerana anak-anak suka sushi yang ada mayonis. Kemudian gulung sampai ke hujung. Potong mengikut saiz yang kita suka.

Sushi sedia dimakan bersama jeruk halia, kicap sushi dan wasabi.


February 6, 2010

Bihun Sup

Bahan-bahannya:

1. Sup
- 1kg ayam atau daging
- 10 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 bungkus sup bunjut
- 1 peket rempah sup
- daun bawang dan daun sup
- minyak masak
- bawang goreng
- air
- garam secukupnya

Sup ayam adalah kegemaran keluarga saya. Sekiranya saya memasak sup harus bersama bihun bukan makan dengan nasi. Maka resepinya senang sahaja. Ayam akan dipotong kecil-kecil. Bawang putih, bawang merah dan halia saya akan tumbuk (tidak perlu sampai lumat). Panaskan minyak dan tumis bahan2 yang ditumbuk tadi. Biarkan sehingga kekuningan. Masukkan sup bunjut dan tumis sehingga naik bau bahan-bahan tumisan tersebut. Kemudian tambahkan air. Biarkan sampai menggelegak baru di tambah rempah sup ( bancuh dengan air dahulu sebelum dimasukkan kedalam periuk). Di tambah sedikit garam (mengikut citarasa). Selepas menggelegak masukkan daun sup dan daun bawang. Taburkan sedikit bawang goreng. Tutup periuk dan padamkan api.

2. Mee
- bihun (saya suka cap bintang atau Eka, tapi disini tak ada brand ni)
- Sedikit pewarna kuning telur

Bihun hendaklah direndam bersama air panas sehingga lembut. Bubuh sedikit pewarna kuning telur (mengikut citarasa). Setelah lembut toskan bihun tadi dan siram dengan air sejuk. Sekiranya tidak suka pada pewarna maka biarkan saja bihun itu pada warna asli.(Kami ni orang Utara, sudah terbiasa dengan bihun yang berwarna kuning)

3. Sos
- 300 g cili padi
- 1 cawan kicap manis
- sedikit gula dan garam (mengikut citarasa)
- asam keping (1)
- seulas bawang putih
- 500 ml air (lebih pun tak apa)

Sos ini sangat penting kalau nak makan bihun sup. Cili api akan dikisar dengan air dan bawang putih. Masak cili tadi dan asam keping dengan api yang sederhana sehingga airnya hampir kering kering. Tambahkan kicap dan gula. Kalau perlu boleh tambah sedikit garam. Biarkan sehingga sos tadi pekat baru dipadamkan api.

4. Hiasan
- 300 g taugeh (dibuang akarnya dan dicelur dengan air panas)
- 300 g timun ( dihiris secara melintang dan dipotong halus)
- bawang goreng
- daun sup dan daun bawang

Bihun sup sedia untuk dihidang.

P/S Bagi diri saya yang tak makan bihun ni maka saya akan masak nasi impit untuk dimakan bersama sup ayam. Apa jenis makanan yang berasaskan bihun memang saya tak makan. Asalnya adalah disebabkan semasa saya tinggal diasrama dahulu, bihun akan digoreng dalam kawah. MasyaAllah, keadaan bihun itu sungguh menyedihkan sehingga kami tak lalu nak makan. Akhirnya saya tidak ada selera untuk menjamah bihun. Hanya bihun yang saya goreng sendiri saja yang saya akan makan , itupun sebab nak rasa samada bihun goreng saya jadi atau tidak. Tetapi keluarga saya sangat suka makanan yang berasaskan bihun. Maka saya hanya akan memasak bihun untuk mereka.

February 5, 2010

Laksa Mama



Laksa ini sangat istimewa bagi kami sekeluarga. Laksa ini hanya akan dihidang pada hari-hari perayaan sahaja seperti Hari Raya, Deepavali atau Chinese New Year. Laksa ini jarang menjadi hidangan pada hari-hari biasa melainkan pada majlis ulangtahun.

Resepi Laksa ini adalah hakmilik terpelihara Pn Zuhayati. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada beliau keran telah membenarkan saya menggunakan resepi tersebut di Dubai. Anak-anak saya juga berasa sangat gembira kerana mereka telah terlalu memendam rasa untuk makan Laksa Mama ini di Dubai, terutamanya anak saya yang bongsu Mohd Shaddad. Terima kasih sekali lagi.

February 4, 2010

Sambal Tempoyak Daun Kayu

MasyaAllah, bila jadi perantau ni...tekak ni macam-macam yang teringin nak makan. Penat juga berfikir macamana nak bawa tempoyak naik kapalterbang. Seorang kawan dari Abu Dhabi (Pn Raidah) beritahu...masukkan tempoyak kedalam freezer dulu. Bila dah cukup keras barulah dibungkus dengan kertas dan plastik. Baunya tak akan keluar. Dia pun telah memberikan saya sebungkus tempoyak.

Maka saya pun teringin pula nak makan sambal tempoyak cara orang Negeri Sembilan.

bahan-bahannya :

- 1 cawan tempoyak
- 100g ikan bilis
- 2 ikat pucuk ubi (dihiris)
- 3 helai daun kunyit (dihiris)
- 2 batang serai (dihiris)
- 2 inci kunyit hidup
- 100g cili padi
- 2 cawan santan pekat
- 2 batang serai (dihiris)
- 2 cawan air (mengikut citarasa)
- 150g petai (belah dua)
(Pucuk-pucuk lain seperti pucuk labu.....apa2 lagi boleh di tambahkan)

Cara membuatnya

Cili padi dan kunyit hendaklah ditumbuk. Saya akan masak bahan ini dengan sedikit air diatas api yang sederhana. Tujuannya supaya cili ini tidak pedas sangat bila dimakan nanti. Bancuh tempoyak dengan air (supaya tempoyak tadi tidak berketul-ketul) dan tuangkan kedalam periuk tadi. Masukkan ikan bilis dan masak sehingga mendidih. Masukkan serai dan daun-daun yang sudah dihiris. Tambahkan petai. Masak sehingga mendidih.

Dodol

Seperti saya katakan tadi...bila dah merantau ni, macam-macam jenis makanan saya boleh buat sendiri. Pada musim panas 2008, semasa saya berjalan-jalan pada waktu malam bersama suami...kami teringin sangat nak makan dodol. Saya kata macamana nak kacau dodol, siapa nak tolong kacau lagi pun padang pasir ni. Kalau masa kita kacau dodol tu...datang ribut pasir...habis dodol kita.

Kami pun lupakan pasal dodol...kerana kami akan pulang ke Kuala Lumpur nanti. Saya cadangkan supaya kita kacau dodol semasa disana nanti. Rupa-rupanya sepanjang kami bercuti di Kuala Lumpur selama 6 minggu, tidak ada masa untuk kami kacau dodol.

Oleh kerana terlalu ingin sangat nak makan dodol....(kacau dodol adalah upacara tahunan Keluarga Basri) maka saya telah membuat penyelidikan tentang resepi dodol keluarga kami. Maka saya telah menghasilkan resepi yang baru...sesuai dengan keadaan kami disini.

Resepi Dodol:

- 1 cawan beras pulut ( dikisar menjadi tepung)
- 1 cawan gula putih
- 1 cawan gula merah
- 3 cawan santan pekat
- 2 liter santan cair

Cara membuat :

Masakkan santan pekat sampai naik minyaknya. Sementara kita masakkan santan, tepung beras dikacau bersama santan cair dan biarkan. Tujuannya supaya tepung beras tadi kembang dan senang nanti semasa kita mengacau.

Bila santan tadi dah masak, masukkan tepung beras yang sudah dikacau bersama santan cair. Apabila tepung ini sudah dimasukkan maka kita mesti sentiasa terus mengacau. Jika kita berhenti mengacau, tepung tersebut akan berketul. Kacau sehingga adunan tadi pekat dan masukkan gula. Gula boleh ditambah mengikut citarasa. Kemudian kacau berterusan sehingga likat seperti dalam gambar. Saya mengambil masa 3 jam, barulah dodol saya siap.

Dodol sedia untuk dihidangkan.

February 3, 2010



Lemang

Sejak kami tinggal di Dubai ni....macam-macam resepi dah saya cuba. Maklumlah dulu tinggal berdekatan dengan adik-beradik, bila teringin nak makan apa-apa...saya akan minta kakak-kakak saya yang buatkan. Saya ni memang kurang pandai bab masak-memasak ni. Saya hanya masak untuk keluarga sahaja.

Apabila kami berada jauh dari keluarga, saya sudah pandai buat lemang. Kalau lemang di kampung, dibakar dengan bara api. Lemang yang saya buat di Dubai saya bakar dalam oven. Alhamdulillah...rasanya tetap serupa. Saya sertakan resepi lemang untuk perantau seperti kami...maklumlah kalau Hari Raya tak ada Lemang dan rendang tu...tak lengkap rasanya.




Resepi Lemang :

- 1 kg beras pulut
- 2 liter santan pekat
- sedikit garam
- daun pisang
- aluminium foil

Cara membuat :

Bubuh sedikit garam ke dalam santan supaya naik lemaknya. Kemudian tanak pulut dengan 1.5 liter santan. Kacau pulut yang ditanak itu supaya lemaknya akan sama rata. Tanak pulut hingga setengah masak sahaja.

Sediakan daun pisang sepanjang 12 inci setiap sehelai. Kalau daun pisang kecil...sediakan dua helai daun untuk setiap batang lemang. Sendukkan (150g) pulut yang telah siap tadi dan letakkan di atas daun pisang secara melintang (iaitu ikut panjang daun). Gulungkan daun pisang sambil kita menekan-nekan pulut tersebut supaya menjadi bulat seperti lemang dalam buluh. Setalh siap digulung lipat hujung daun sebelan kiri dan pada hujung daun sebelah kanan....tambahkan 2 sudu santan. Kemudian lipatkan bahagian tersebut. Kemudian balutkan dengan aluminium foil mengikut saiz lemang tersebut. Ulang proses yang serupa sehingga pulut itu habis. Bakar didalam oven selama 30 minit (lebih kurang) pada suhu 180*C.

Lemang sedia untuk dimakan.

P/S : Untuk pengetahuan kawan-kawan, kami makan lemang cicah susu pekat manis F&N. Yummy...yummy...yummy

February 1, 2010

Resepi Kue Teow Goreng

Bahan-bahannya:

- 1 kg Kue Teow
- 200g daun kuchai
- 200g taugeh
- 5 sudu cili kering yang telah dikisar
- 3 ulas bawang putih
- 300g ayam atau udang atau kerang
- garam secukupnya
- kicap manis
- kicap pekat
- sos tiram
- 1/2 cawan minyak masak

Cara membuatnya:

Kue Teow tersebut dicerai-ceraikan terlebih dahulu. Daun Kuchai dipotong sepanjang 2 inci dan taugeh dibuang akarnya. Bawang putih diketuk dan dipotong.

Panaskan minyak dalam kuali. Setelah minyak panas, masukkan bawang putih dan tumis hingga naik baunya. Masukkan cili dan tumiskan sehingga masak. Selepas cili masak masukkan udang atau ayam atau kerang dan goreng hingga masak. Tambahkan kicap manis, sos tiram dan kicap pekat. Tambahkan sedikit garam. Kemudian masukkan kue teow dangoreng hingga masak. Masukkan taugeh dan daun kuchai.

Gereng sekejap lagi. Masukkan telur dan goreng lagi sehingga masak. Kue teow sedia untuk digoreng.

Kue Teow Goreng



About Me

Saya berasal dari Kampung Padang 'A', Astana Raja, Kota Negeri Sembilan. Pendidikan awal saya di Sekolah Kebangsaan Astana Raja. Cik gu yang paling saya ingat semasa di sekolah ini ialah Cikgu Hasnah Peral, Cikgu Zaharah dan Ustaz Hussin. Ada sejarah yang penyebabkan saya ingat pada mereka sampai sekarang.

Cikgu Hasnah tu...cikgu pertama di sekolah tersebut manakala Cikgu Zaharah ni...saya selalu bawakan ulam pegaga untuk dia dan dia akan bagi saya duit 20 sen..Ustaz Hussin pula...masa dia tengah mengajar, saya keluar dari kelas untuk minum air. Kemudian dia tanya saya kenapa keluar...saya jawap "saya sakit perut ustaz"...terus dia suruh saya pergi klinik. Sebenarnya saya keluar minum...sedangkan masa tu.......dot dot dot....

Kawan-kawan yang saya ingat namanya sampai sekarang antaranya Hamidah Osman, Hamidah Yusof, Nora Shamsudin, Faridah Doya, Hanita Mohamad dan Nirwana...yang lain...Mohd Hanafiah...(sebab ayahnya cikgu di sekolah)...yang lain tu tak berapa pasti...dah lama sangat..

Secondary School

Keputusan Penilaian Darjah 5 saya tu baik....dapat masuk sekolah berasrama di Sikamat Seremban. Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said....jiran kita Sekolah Tunku Kurshiah.

Masih segar dalam ingatan lagi...sekolah masa dulu-dulu. Masa nak periksa tu...Darjah 5, Kak Lang belikan 5 buah buku untuk saya ulangkaji (semua subjek). Oleh kerana hanya ada 5 buah buku sahaja...sampai saya hafal semua jawapan...bila tengok soalan dah tau jawapannya...tak tau dah berapa kali ulang buku tu....susahnya hidup masa itu.

Bila dapat masuk asrama...masalah juga...kenapa? Mak dan abah tak ada duit. Mujur juga ada padi dalam Ku'i (tempat simpan padi)....jemur semula padi tu dan jual untuk dapatkan duit yuran sekolah (tak ingat berapa jumlah) tapi ada juga masalah lagi...apa pulak? Macamana nak pergi ke sekolah tu...di Seremban. Mujur ada Allahyarham bang Kassim....dia ada kereta...jadi kami sewa kereta dia untuk ke Seremban (45 minit dari rumah pada masa sekarang). Sehari sebelum berangkat tu...mak jual ayam...tak ingat berapa ekor...nak buat tambang dan duit untuk belanja....susah betul ya...

Masa duduk asrama...abah tak boleh datang selalu sebab abah tak ada lesen motor. Alhamdulillah...pak cik Musa...Jaga di sekolah tu tinggal berhampiran dengan kampung kami...jadinya bolehlah mak kirimkan barang pada pak cik Musa. Selalu mak akan kirim ikan bilis goreng bercili dengan kacang tanah....bila ada jer barang mak kirim...pak cik akan panggil dari bawah...Milah ooo Milah...seronoknya bila pak cik panggil...dalam fikiran adalah makanan yang sedap sikit dari makanan asrama hari ni....

Banyak kenangan di sekolah ni...Pengetuanya Ust Haji Mohd Yusof...garang betul...Guru Maths (F3) Cikgu Mat Shah...terima kasih cikgu (duduk di Gedung Lalang, Serembn), Ust Zubaidah Sheikh Ahmad, Mrs Ang (selalu tumpang teacher bila nak ke Seremban)...Guru Sains saya sangat tegas Cikgu Normah (ingat lagi celak di mata cikgu tu)....cik gu Siti Hawa (kami dok kira perkataan "a" cikgu..)...manis sungguh masa tu...

Kenangan paling manis disini.....masyaAllah hanya Allah saja yang tahu....jeng..jeng...jeng ....(malu nak ceritalah) selain itu ...dapat kutu kepala dari kawan-kawan..nak tau siapa?....alamak, dia tu kaki gaduh lah...

Abang angkat saya Abdul Razak...dan adik angkat juga Abdul Razak...yang ingat dia ni orang Dusun Nyiur Seremban..entahlah...habis kat situ jer. Kawan-kawan perempuan.... mana dia orang ni..Zunairah, Zurainah, Khatijah Abu Bakar, Zubaidah Abu Bakar, Norazlina Sidek....ah ramai lagi. Masih berhubung lagi dengan Safiah Abdul Rahman...dan Hafizah ( senior ...lupa panggilannya saya hentam Along...rupanya dia Angah).

Periksa SRP...cemerlang. Seterusnya SPM...cemerlang lagi. Mesti rajin belajar...kita orang susah ( mesti masuk U ). Alhamdulillah...masa belajar disini..saya dapat biasiswa Rm48 sepenggal...banyak masa tu..Kena tambah rajinlah sebab dapat bantuan kerajaan..masa Tingkatan 5 dapat Rm120 sepenggal...banyaknya (masa tu).

Kolej Islam Kelang

Selepas kecemerlangan terbukti dalam SPM, saya ditawarkan tempat untuk belajar bersama kawan-kawan lain yang pandai. Kolej Islam Kelang adalah antara sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan yang terbaik pada masa itu. Sesiapa yang belajar dari sekolah beraliran agama dan lulus cemerlang dalam SRP dan SPM akan ditawarkan tempat untuk belajar di situ. Bagi saya bila saya sudah belajar di KIK maka saya sudah menempah tempat untuk ke universiti. Saya sangat yakin tentang itu.

Semasa di KIK, saya belajar bersungguh-sungguh untuk lulus cemerlang dalam STPM. Sepanjang saya belajar di sana saya mendapat bantuan sepenuhnya dari kerajaan. Asrama saya di Kelang juga berhampiran dengan rumah kakak-kakak saya di Kuala Lumpur. Keadaan menjadi semakin mudah apabila mereka selalu melawat saya diasrama. Saya hanya menumpukan perhatian pada pelajaran saya saja. Alhamdulillah...kesemua lima matapelajaran yang saya ambil telah lulus dengan cemerlang.

Sukacita saya memberitahu bahawa usaha saya memang berbaloi. Ketika semua orang sudah tidur, saya masih lagi belajar. Sebelum semua kawan-kawan bangun dari tidur, saya sudah pun siap sedia untuk ke sekolah. Saya memang rajin belajar sebab saya nak masuk universiti. Pada masa itu tumpuan saya hanyalah pada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Allah yang Maha Mengetahui. Dia telah menentukan segala-galanya. Berkat usaha dan doa saya. Ibubapa saya juga senantiasa mendoakan kejayaan saya. Saya ditawarkan belajar di UIAM dalam jurusan Ekonomi untuk sessi 1986/90. Alhamdulillah....

Dunia