March 20, 2011

Chicken Curry Bun


Saya ni sebenarnya tidaklah pandai dalam hal membuat roti. Tetapi disebabkan kami tinggal di Dubai, roti-roti yang ada di sini tidak sama seperti yang saya dah makan sejak 44 tahun. Anak-anak pun sukar nak terima rasa roti-roti di sini. Mungkin kalau rakyat tempatan mereka sudah 44 tahun makn roti yang ada disini...jadinya, ok lah. Roti di sini kalau ada yang boleh dibeli pun harganya sangatlah mahal...."imported product from Western countries".

Anak-anak saya tak mahu membeli makanan di kantin sekolah kerana mahal. Lagipun duit belanja yag kami bekalkan tidak cukup untuk membeli makanan di sekolah. Oleh yang demikian mereka akan membawa makanan dari rumah. Maka, saya harus mempelbagai menu untuk dibawa kesekolah.

Saya tengok resepi dalam internet...jadi kalau ada resepi yang mudah tu saya akan cuba dan saya akan letakkan di sini supaya mudah untuk jadi bahan rujukan saya di masa hadapan. Alhamdulillah...'Chicken Curry Bun' saya ni lembut dan menepati selera keluarga.


Bahan-bahan :

300g tepung gandum
3 sudu gula
60g marjerin
1 sudu teh yeast kering
1 cawan susu suam ( susu pekat pun boleh juga)
1 biji telur
1 cubit garam
1/2 sudu dough softner

1 biji telur dicampur 2 sudu susu segar untuk disapu di atas adunan.
Cara membuatnya :

Mula-mula campurkan yeast kering dengan susu suam. Biarkan sebentar sehingga naik buih. Sementara itu campurkan semua bahan-bahan di atas dan gaul rata. Tuangkan campuran yeast tadi sedikit demi sedikit dan uli sehingga lembut. Sekiranya adunan masih keras saya masukkan sedikit air sehingga adunan betul-betul lembut dan tidak melekat. Saya menguli dengan tangan dan selalunya mengambil masa dalam 30 minit untuk mendapatkan adunan yang lembut.

Biarkan adunan tadi didalam besen dan tutup dengan kain sehingga saiz adunan tadi membesar 2 kali ganda dari saiz asal (selalunya lama masa yang diambil lebih kurang 1 jam). Kemudian saya tumbuk-tumbuk adunan tadi untuk membuat angin. Saya ambil adunan tadi sedikit dan akan timbang seberat 20g setiap satu. Saya leperkan adunan dan letakkan inti yang disukai. Kadang-kadang saya letak inti kelapa tetapi anak-anak suka inti kari ayam. Inti kari ayam ni sama saya buat macam inti karipap, cuma saya kurangkan kentang dan buat pedas sedikit.

Inti 'Chicken Curry Bun'

Bahan-bahan :

300g isi ayam (potong dadu kecil)
3 biji bawang besar (hiris dan potong dadu)
3 ulas bawang putih (cincang)
2cm halia (cincang)
3 sudu besar serbuk kari(bancuh dengan 1 cawan air)
1 tangkai daun kari
3 biji kentang (potong dadu)
1 liter air
garam secukupnya

Tumis bawang putih, halia dan bawang besar sehingga naik bau kemudian masukkan daun kari. Tumis sehingga bahan-bahan kekuningan. Masukkan serbuk kari dan tumis sebentar sehingga masak. Masukkan ayam dan masak sebentar sehingga ayam kecut. Masukkan kentang dan air. Masak sehingga ubi kentang tadi empuk. Jangan lupa letak sedikit garam mengikut cita rasa. Biarkan sejuk sebelum diisikan dalam adunan roti.

Apabila selesai mengisi inti...biarkan adunan tadi mengembang sekali lagi. Apabila adunan sudah sedia untuk dibakar...panaskn oven pada 190*C. Dalam masa menunggu oven panas, sapukan telur yang dipukul dan dicampur 2 sudu susu segar. Terus masukkan ke dalam oven dan bakar selama 15-20 minit. Roti sedia untuk dihidang. Kalau di rumah saya akan membuat roti untuk 2 adunan kerana kalau satu adunan sahaja, tak sempat nak bawa ke sekolah nanti. Habis di meja makan.

Red Beans Bun

Hahahahahahaha.....apa macam? Alhamdulillah ....berjaya sudah. Bun kegemaran saya iaitu roti kacang merah. Boleh cuba dan dijamin sedap.

Bahan2-bahan roti :

500 g tepung gandum ( pre-sifted and bleached)
2 sudu besar marjerin ( boleh juga guna shortening)
1/2 sudu kecil dough softner
1 sudu besar yis kering
1 1/2 cawan susu suam ( saya guna susu pekat)
1 sudu besar gula halus
2 biji telur ( saiz medium)
secubit garam

Sapuan atas roti :

1 biji telur kuning
1 sudu kecil susu segar
1/2 cawan bijan

Tepung gandum dicampur dengan marjerin dan dough softener. Gaul sampai rata. Pada masa yang sama masukkan yis kedalam susu suam dan kacau. Biar sebentar sehingga yis itu mengembang (berbuih). Apabila tepung tadi sudah digaul rata, masukkan telur dan gaul sekali lagi sehingga rata juga supaya warna dari kuning telur tadi sekata pada tepung. Jika yis sudah kembang, masukkan sedikit demi sedikit kedalam tepung dan uli sehingga tepung menjadi lembut dan gebu.

Apabila dah siap doh tadi (lembut, licin dan tidak melekit) bolehlah dibiarkan selama satu jam supaya doh tadi mengembang sehingga 2 kali ganda. Tutup doh tadi dengan tuala dan tutup dengan pinggan pada permukaan besen. Tujuan nya supaya yis tadi dapat bertindak pada suhu yang sekata.

Inti kacang merah :

500g kacang merah
2 cawan gula
1 cawan brown sugar
1/2 cawan minyak masak

Kacang merah direndam semalaman. Kemudian direbus sehingga masak. Apabila telah sejuk boleh lah dikisar bersama minyak tadi. Kisar sehingga halus. Masak semula didalam periuk dan tambahkan gula (mengikut kesukaan). Saya suka inti kacang merah yang manis kerana inti akan tahan lama. Saya akan tambah secubit garam dalam inti semasa kita memasaknya supaya manis inti tu akan naik. Masak sehingga inti likat dan jangan terlalu kering sehingga inti kacang pecah dan berderai. Kiranya nampak inti itu seperti berderai...harus ditambah sedikit minyak masak lagi. Hasil nya inti tadi akan nampak berkilat.

Bila doh roti kita sudah kembang dua kali ganda dari saiz asal boleh lah kita mulakan untuk mengisi inti. Tumbukkan doh tadi untuk membuang angin dan timbang 30g setiap seketul. Leperkan setiap doh yang sudah ditimbang tadi dengan tangan dan letak lah inti mengikut kesukaan kita. Oleh kerana saya suka inti kacang merah maka saya akan letak banyak inti.

Cantumkan doh tadi seperti kita membuat kuih pau dan leperkan sedikit adunan roti itu. Saya kelar dibahagian atas adunan tadi supaya inti kacang merah kelihatan. Kemudian saya sapukan bahagian atasnya dengan telor kuning(telor kuning yang dicampur dengan sesudu susu segar) dan taburkan sedikit bijan. Ulang proses sehingga selesai semua doh tadi.

Bakar dalam oven pada suhu 180*C selama 15-20minit.

About Me

Saya berasal dari Kampung Padang 'A', Astana Raja, Kota Negeri Sembilan. Pendidikan awal saya di Sekolah Kebangsaan Astana Raja. Cik gu yang paling saya ingat semasa di sekolah ini ialah Cikgu Hasnah Peral, Cikgu Zaharah dan Ustaz Hussin. Ada sejarah yang penyebabkan saya ingat pada mereka sampai sekarang.

Cikgu Hasnah tu...cikgu pertama di sekolah tersebut manakala Cikgu Zaharah ni...saya selalu bawakan ulam pegaga untuk dia dan dia akan bagi saya duit 20 sen..Ustaz Hussin pula...masa dia tengah mengajar, saya keluar dari kelas untuk minum air. Kemudian dia tanya saya kenapa keluar...saya jawap "saya sakit perut ustaz"...terus dia suruh saya pergi klinik. Sebenarnya saya keluar minum...sedangkan masa tu.......dot dot dot....

Kawan-kawan yang saya ingat namanya sampai sekarang antaranya Hamidah Osman, Hamidah Yusof, Nora Shamsudin, Faridah Doya, Hanita Mohamad dan Nirwana...yang lain...Mohd Hanafiah...(sebab ayahnya cikgu di sekolah)...yang lain tu tak berapa pasti...dah lama sangat..

Secondary School

Keputusan Penilaian Darjah 5 saya tu baik....dapat masuk sekolah berasrama di Sikamat Seremban. Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said....jiran kita Sekolah Tunku Kurshiah.

Masih segar dalam ingatan lagi...sekolah masa dulu-dulu. Masa nak periksa tu...Darjah 5, Kak Lang belikan 5 buah buku untuk saya ulangkaji (semua subjek). Oleh kerana hanya ada 5 buah buku sahaja...sampai saya hafal semua jawapan...bila tengok soalan dah tau jawapannya...tak tau dah berapa kali ulang buku tu....susahnya hidup masa itu.

Bila dapat masuk asrama...masalah juga...kenapa? Mak dan abah tak ada duit. Mujur juga ada padi dalam Ku'i (tempat simpan padi)....jemur semula padi tu dan jual untuk dapatkan duit yuran sekolah (tak ingat berapa jumlah) tapi ada juga masalah lagi...apa pulak? Macamana nak pergi ke sekolah tu...di Seremban. Mujur ada Allahyarham bang Kassim....dia ada kereta...jadi kami sewa kereta dia untuk ke Seremban (45 minit dari rumah pada masa sekarang). Sehari sebelum berangkat tu...mak jual ayam...tak ingat berapa ekor...nak buat tambang dan duit untuk belanja....susah betul ya...

Masa duduk asrama...abah tak boleh datang selalu sebab abah tak ada lesen motor. Alhamdulillah...pak cik Musa...Jaga di sekolah tu tinggal berhampiran dengan kampung kami...jadinya bolehlah mak kirimkan barang pada pak cik Musa. Selalu mak akan kirim ikan bilis goreng bercili dengan kacang tanah....bila ada jer barang mak kirim...pak cik akan panggil dari bawah...Milah ooo Milah...seronoknya bila pak cik panggil...dalam fikiran adalah makanan yang sedap sikit dari makanan asrama hari ni....

Banyak kenangan di sekolah ni...Pengetuanya Ust Haji Mohd Yusof...garang betul...Guru Maths (F3) Cikgu Mat Shah...terima kasih cikgu (duduk di Gedung Lalang, Serembn), Ust Zubaidah Sheikh Ahmad, Mrs Ang (selalu tumpang teacher bila nak ke Seremban)...Guru Sains saya sangat tegas Cikgu Normah (ingat lagi celak di mata cikgu tu)....cik gu Siti Hawa (kami dok kira perkataan "a" cikgu..)...manis sungguh masa tu...

Kenangan paling manis disini.....masyaAllah hanya Allah saja yang tahu....jeng..jeng...jeng ....(malu nak ceritalah) selain itu ...dapat kutu kepala dari kawan-kawan..nak tau siapa?....alamak, dia tu kaki gaduh lah...

Abang angkat saya Abdul Razak...dan adik angkat juga Abdul Razak...yang ingat dia ni orang Dusun Nyiur Seremban..entahlah...habis kat situ jer. Kawan-kawan perempuan.... mana dia orang ni..Zunairah, Zurainah, Khatijah Abu Bakar, Zubaidah Abu Bakar, Norazlina Sidek....ah ramai lagi. Masih berhubung lagi dengan Safiah Abdul Rahman...dan Hafizah ( senior ...lupa panggilannya saya hentam Along...rupanya dia Angah).

Periksa SRP...cemerlang. Seterusnya SPM...cemerlang lagi. Mesti rajin belajar...kita orang susah ( mesti masuk U ). Alhamdulillah...masa belajar disini..saya dapat biasiswa Rm48 sepenggal...banyak masa tu..Kena tambah rajinlah sebab dapat bantuan kerajaan..masa Tingkatan 5 dapat Rm120 sepenggal...banyaknya (masa tu).

Kolej Islam Kelang

Selepas kecemerlangan terbukti dalam SPM, saya ditawarkan tempat untuk belajar bersama kawan-kawan lain yang pandai. Kolej Islam Kelang adalah antara sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan yang terbaik pada masa itu. Sesiapa yang belajar dari sekolah beraliran agama dan lulus cemerlang dalam SRP dan SPM akan ditawarkan tempat untuk belajar di situ. Bagi saya bila saya sudah belajar di KIK maka saya sudah menempah tempat untuk ke universiti. Saya sangat yakin tentang itu.

Semasa di KIK, saya belajar bersungguh-sungguh untuk lulus cemerlang dalam STPM. Sepanjang saya belajar di sana saya mendapat bantuan sepenuhnya dari kerajaan. Asrama saya di Kelang juga berhampiran dengan rumah kakak-kakak saya di Kuala Lumpur. Keadaan menjadi semakin mudah apabila mereka selalu melawat saya diasrama. Saya hanya menumpukan perhatian pada pelajaran saya saja. Alhamdulillah...kesemua lima matapelajaran yang saya ambil telah lulus dengan cemerlang.

Sukacita saya memberitahu bahawa usaha saya memang berbaloi. Ketika semua orang sudah tidur, saya masih lagi belajar. Sebelum semua kawan-kawan bangun dari tidur, saya sudah pun siap sedia untuk ke sekolah. Saya memang rajin belajar sebab saya nak masuk universiti. Pada masa itu tumpuan saya hanyalah pada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Allah yang Maha Mengetahui. Dia telah menentukan segala-galanya. Berkat usaha dan doa saya. Ibubapa saya juga senantiasa mendoakan kejayaan saya. Saya ditawarkan belajar di UIAM dalam jurusan Ekonomi untuk sessi 1986/90. Alhamdulillah....

Dunia