April 21, 2010

Kuih Pau Kaya Pandan


Ini adalah percubaan pertama saya buat Kaya Pandan. Selama ini saya hanya gunakan Kaya Madu keluaran Agro Mas. Saya akan gunakan kaya madu ini untuk membuat roti boom atau 'crepes' pisang dengan kaya. Tetapi kali ini suami teringin nak makan Pau Kaya. Kalau saya gunakan Kaya Madu Agro Mas ni tak sesuai sebab terlalu cair. Saya pun buat kaya pandan sendiri berpandukan resepi kawan-kawan dan saya ubah suai sedikit. Saya pun tak pasti samada hasilnya sama atau tidak dengan kawan-kawan yang lain. Tetapi Kaya Pandan saya tadi sangat sesuai jika nak buat pau inti kaya.

bahan-bahan untuk kaya pandan (untuk panduan saya):

- 4 biji telur ayam
- 1 cawan gula pasir
- 2 cawan santan pekat
- 1 cawan air pandan ( 6 helai daun pandan yang dikisar dan ditapis)

Campurkan semua bahan dan masak diatas api yang sederhana. Kacau tanpa berhenti sehingga menjadi pekat.

bahan-bahan untuk pau:

- 1 kg tepung gandum
- 11g yis kering mauripan
- 1/2 cawan gula
- 1 sudu teh garam
- 3 sudu marjerin
- daun pisang (dipotong 4 segi 2 in x 2 in)
- air secukupnya

Gaulkan tepung dan yis sehingga rata. Campurkan gula dan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli tepung sehingga menjadi doh. Apabila doh sudah cukup lembut, ambil sedikit sebesar bola pingpong dan leperkan di atas tapak tangan. Letakkan sesudu kecil inti kaya dan cantumkan semula tepung tadi supaya menjadi bulat. Letakkan di atas kertas atau daun pisang yang sudah digunting tadi. Ulang proses yang sama sehingga selesai. Biarkan sebentar sehingga adunan tadi kembang.

Sementara itu boleh sediakan pengukus pada api yang sederhana besar. Apabila adunan tadi sudah kembang bolehlah dikukus. Saya selalunya akan letakkan kain cotton diatas pengukus sebelum ditutup supaya air dari wap itu tidak jatuh pada kuih pau.

Cucur Ubi Kayu

Sebenarnya kuih-kuih macam ni adalah kegemaran anak-anak saya. Saya tak tahu macamana mereka boleh suka kuih ini kerana saya tak pandai membuat kuih berasaskan ubi kayu. Sekarang, saya pun suka membuat kuih ini. Lagipun penyediaannya sangat mudah dan cepat.

bahan-bahannya :

- 500g ubi kayu
- 1 1/2 cawan gula merah
- 1/2 cawan gula pasir
- 1 cawan kelapa parut (putih sahaja)
- 1/2 cawan santan (nak bubuh air pun boleh)
- garam secukup rasa
- minyak untuk menggoreng

cara membuat :
Ubi kayu yang telah dibuang kulit dan dibersihkan tadi hendaklah diparut terlebih dahulu. Kemudian ditapis dengan kain cotton untuk membuang sagunya. Kalau tidak dibuang sagunya nanti cucurnya akan liat sedikit. Setelah selesai, gaulkan semua bahan sehingga rata. Selalunya saya akan biarkan adunan tadi beberapa minit sebelum digoreng. Tujuannya supaya bahan-bahan tadi akan sebati dan rasanya akan lebih sedap. Kemudian baru digoreng dan terus dihidang. Sungguh sedap.

March 30, 2010

Kuih Sago




Kuih Sago ini adalah kuih kegemaran sejak dari kecil tetapi susah nak jumpa kuih ini yang bertepatan dengan selera saya. Selalunya kalau saya beli kuih ini, mesti ada sahaja rasa yang tidak memuaskan hati. Akhirnya, semasa saya balik Kuala Lumpur masa cuti musim panas 2009 yang lalu saya telah belajar dari kakak saya. Dia memang pandai membuat kuih tradisional melayu. Sejak dari tarikh itu saya telah pun beberapa kali membuat kuih sago ini di Dubai tetapi sagonya saya beli di Tesco Kuala Lumpur. Sago ada dijual di Geant Dubai tapi tak sama seperti yang dijual di Malaysia. Kuih Sago ini saya buat mengikut selera saya.

Bahan-bahannya :

- 200g sago (sago mata ikan)
- 1 biji kelapa parut putih sahaja(dibahagi 2 bahagian)
- 150g gula merah
- garam secukupnya
- daun pisang untuk membungkus

Cara membuatnya :

Sago tadi hendaklah dibasuh terlebih dahulu dan toskan. Campurkan 1 bahagian kelapa kedalam sago dan gaul sehingga rata. Tambahkan sedikit garam. Tambahkan sedikit garam kedalam satu lagi bahagian kelapa dan gaul hingga rata. Daun pisang yang sudah dibersihkan hendaklah dilayur diatas api dan dipotong mengikut saiz yang sesuai. Ambil sehelai daun pisang dan lipat seperti bentuk 3 segi atau bentuk kon.

Mula-mula masukkan satu sudu sago kemudian letakkan satu sudu kecil gula merah dan kelapa parut. Selepas itu letakkan satu sudu sago pada lapisan yang terakhir. Bungkus kuih tadi dengan melipatkan daun pisang supaya menjadi bentuk seperti pyramid. Ulang proses yang sama sehingga habis sago. Kukus sehingga masak ( tidak kurang dari 30 minit)dan sedia untuk dihidangkan kepada keluarga.

March 26, 2010

Karipap Sardin

Masa mula-mula sampai Dubai dulu, inti karipap ni kami order dari Malaysia. Maklumlah saya ni bukan pandai sangat bab masak ni. Ini adalah percubaan pertama saya masak inti sardin. Rasa-rasanya lepas ni tak perlu order inti sardin dari Kg Sri Gombak Indah lagi, dah boleh buat sendiri. Tetapi sardinnya tetap kena beli dari Malaysia juga.

Bahan-bahan untuk inti:

- 1 tin besar sardin ( saya suka cap Ayam)
- 5 biji bawang besar (sederhana besar)
- 10 ulas bawang merah (hiris nipis)
- 3 ulas bawang putih (cincang)
- 1 cawan cili kering yang telah dikisar (boleh tambah kalau suka pedas)
- 3 keping asam keping
- garam secukupnya
- 1 senduk minyak untuk menumis

cara membuat :

Panaskan minyak dalam kuali. tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga naik baunya. Kemudian masukkan setengah dari bawang besar yang telah dihiris tadi. Tumis hingga bawang layu. Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sampai masak. Bila dah naik minyak masukkan baki bawang hiris tadi dan kacau. Bila dah sebati masukkan ikan sardin bersama dengan sosnya sekali. Kacau sambil kita hancurkan ikan sardin tersebut dalam kuali. Kita juga boleh hancurkan ikan sardin dahulu sebelum dimasukkan kedalam kuali. Masukkan asam keping dan masak hingga kering. Biarkan sejuk sebelum digunakan.

Saya juga gunakan inti sardin untuk membuat Roti Goreng. Sedap untuk dibuat minum petang.

March 25, 2010

Kuih Cucur Badak



Selera ni macam-macam lah. Dulu-dulu tak teringin pun nak makan kuih ni. Bila dah sampai sini baru ada rasa nakan makan Kuih Cucur Badak. Saya memang tak pernah buat kuih ni. Akhirnya, cuba lah sendiri. Kalau inti ni jadi maka kuihnya pasti sedap. Alhamdulillah.....dan sangat sedap.

Bahan-bahan untuk inti :

- 1 biji kelapa parut (ambil putih sahaja)
- 4 batang serai (dihiris)
- 1 inci kunyit hidup (lebih kurang sebesar ibu jari kaki)
- 10 ulas bawang putih
- 3 ulas bawang putih
- 1 cawan udang geragau ( tak ada udang kering)
- 3 sudu besar minyak utk menumis
- 4 biji cili merah dan 5 biji cili padi ( try je...)

Bahan-bahan untuk kulit:

- 1kg ubi keledek (buang kulit dahulu)
- 1 cawan tepung
- minyak masak untuk menggoreng

Bawang merah dan bawang putih dikisar dahulu. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang sehingga naik baunya. Sementara itu kisar serai, kunyit hidup, cili dan udang geragau dengan secawan air. Bila bawang tadi sudah kekuningan, masukkan bahan kisar yang kedua tadi dan kacau sehingga sebati. Kemudian masukkan kelapa (kalau suka boleh kisar dahulu kelapa tersebut). Saya masukkan terus kelapa yang diparut tadi tanpa kisar terlebih dahulu. Masak pada api yang sederhana sehingga airnya kering. Biarkan sebentar sehingga sejuk.

Sambil memasak inti kita boleh lah merebus ubi keledek dan tambah sedikit garam. Apabila dah masak (lembut) boleh angkat dan lenyek sehingga hancur. Tambah tepung sedikit demi sedikit dan gaul sampai sebati. Apabila sudah menjadi doh(pastikan doh tidak terlalu lembut dan tidak juga keras), ambil doh tersebut sebesar bola pingpong dan leperkan dengan jadi jari dan tapak tangan(boleh sapukan minyak pada tapak tangan supaya doh tidak melekat). Masukkan satu sudu inti dan cantumkan semula. Ulang proses sehingga habis doh tadi. Apabila selesai proses mengisi inti, kuih tadi boleh digoreng dalam minyak yang banyak. Goreng sehingga warna kuih menjadi kekuningan. Sedia untuk dihidang.

March 24, 2010

Roti Ayaq Hangat


Saya mula mengenali makan ini pada tahun 1991. Sejak saya berkahwin dengan orang yang berasal dari Seberang Perai Utara ni. Sekarang Roti Ayaq Hangat ni sudah menjadi makanan kegemaran kami sekeluarga. Setelah hampir 19 tahun menguli roti ini, saya pun dah pandai sekarang. Senang saja nak buat roti ini.

Bahan-bahannya :
- 500g tepung gandum
- 2 sudu besar gula
- 1 sudu teh garam
- 500ml air panas
- minyak sapi secukupnya

Cara membuatnya :

Tepung digaul rata bersama garam dan gula. Tuang air panas (mendidih) ke atas tepung sedikit demi sedikit dan dikacau dengan senduk kayu. Tambah air panas sekiranya perlu sehingga tepung sebati dan boleh diuli ( seperti adunan membuat kuih tart). Adunan tadi jangan terlalu lembut dan tidak juga keras. Sesuai untuk digelek dengan penggelek seperti membuat capati. Selesai menguli adunan, ambil adunan sebesar bola pingpong dan bulatkan dengan tangan yang sudah disapu minyak sapi. Tujuannya supaya adunan tidak melekat apabila digelek dan semasa menggoreng nanti tidak perlu gunakan minyak.

Setelah siap menggelek, adunan tadi diletakkan di dalam kuali leper dan dimasak diatas api yang sederhana. Apabila adunan telah masak kuatkan api pada maksimum dan ambil sedikit minyak sapi disapukan pada roti tadi. Goreng dan balikkan roti tersebut hingga kulit roti kelihatan kekuningan. Goreng roti mengikut kesukaan seperti kalau mahu yang garing boleh goreng lama sedikit. Angkat roti dari kuali dan sedia untuk dimakan.

Roti Ayaq Hangat sangat sesuai dimakan dengan kari ikan. Bagi kami sekeluarga suka makan roti ini bersama susu pekat manis atau kaya madu. Sangat sedap dan sesuai untuk sarapan dipagi minggu atau minum petang.

Mee Soba and Tempura

Hari ni saya cuti memasak sebab anak sulong saya tak sekolah. Hari ni tak ada exam so dia telah merancang untuk menyediakan makan tengahari untuk kami semua.

Dia telah pergi ke kedai untuk membeli bahan-bahan yang dia nak masak. Dia sendiri memilih dan membersihkan bahan-bahan tersebut. Dia memang suka masak- memasak ni dan memang sudah menjadi kesukaannya berada didapur.

Tepat jam 3 petang semua menu sudah terhidang di meja. Hidangan makan tengahari ini ialah Mee Soba, Miso Sup dan Tempura Udang.

Alhamdulillah...semua orang memuji masakannya. So resepi adalah hak milik terpelihara dan tidak boleh disiarkan disini.

March 15, 2010

Resepi Lepat Ubi









bahan-bahan :

- 1kg ubi kayu ( dibuang kulit dan diparut)
- 1 cawan kelapa parut
- 1 cawan santan pekat
- 1 cawan gula merah
- 1/2 cawan gula pasir ( boleh tambah kalau suka)
- 1 sudu teh garam
- daun pisang secukupnya (daun pisang harus dilayur diatas api supaya lembut dan dipotong)

cara mebuatnya :

Ubi kayu yang sudah diparut tadi hendaklah ditapis dengan kain untuk membuang sagunya. Kemudian campurkan parutan kelapa tadi dan gaulkan hingga rata. Masukkan gula dan garam dan gaul hungga sebati. Akhir sekali masukan santan kelapa sedikit demi sedikit dan kacau. Pastikan adunan tidak terlalu cair. (Kecairannya bergantung kepad jumlah gula, kalau ada tambahan mungkin perlu dikurangkan santan). Apabila sudah siap adunan, sendukkan dua sudu ke atas daun pisang dan lipat dengan rapi. Ulang proses melipat sehingga adunan habis.

Setelah selesai susun lepat tadi di dalam pemgukus dan kukus selama 30 minit pada api yang kuat. Biarkan sejuk dan sedia untuk dimakan.

March 8, 2010

Lasagna


Ingredients :

- 2 tablespoon cooking oil
- 2 large onion (chopped finely)
- 1 tablespoon ginger
- 1 tablespoon garlic
- 1 kg minced beef
- 2 x 410g tomato puree
- 2 tablespoon tomato paste
- 2 tablespoon chopped fresh flat-leaf parsley
- 250g lasagna sheets
- 200g grated mozzarella cheese
-.200g grated carrot
- 200g button mushroom (thinly sliced)
- 1 cup beef stock

white sauce :
- 125g butter
- 1/3 cup plain flour
- 5 cups milk
- 1 cup cooking cream

Preparation :

Heat oil in a large pot, add onion, ginger and garlic. Stirring until fragrant. Add beef and cook until the meat just changes colour. Add the beef stock. Cook at a medium heat for 1/2 hour. Add the tomato puree and tomato paste. Stirring for 5 minutes. Add carrot and mushroom. Cook until the vegetables soften. Remove from heat and stir in parsley.

Meanwhile, make the white sauce. Melt butter in medium saucepan. Mix the flour with the cooking cream and stir well. Pour the mixture into the hot saucepan and stir until mixture forms a smooth paste. Gradually, stir in milk and bring o boil. Stirring until sauce thickens.

Preheat oven to moderately hot (200*C/180*C fan-forced). Grease deep 26cm x 35cm baking dish. Spread about 1/2 cup of white sauce over base of dish. Layer two lasagna sheets, 1 cup of bolognese sauce, 50g of the cheese and 1 cup of remaining white sauce in dish. Repeat layering process starting with lasagna sheets and ending with white sauce. Top lasagna with remaining cheese.

Bake for about 40 minutes or until top is browned lightly. Stand 15 minutes before cutting.





Sizzling Mee

Hari ni saya tak berapa sihat. Demam selsema dari hari Jumaat. Macam-macam menu yang difikirkan untuk juadah makanan tengahari. Apabila sampai waktunya, saya ambil menu yang paling mudah. Inilah hasilnya...

bahan-bahannya:

- 3 ketul mee wantan
- 200g dada ayam (dihiris nipis2 secara memanjang)
- 5 ulas bawang putih(diketuk)
- 1 inci halia (dihiris nipis)
- 3 tangkai cili kering (dipotong-potong)
- karot (dipotong halus dan memanjang)
- 200g brocolli
- 200g bunga kobis
- 200 cendawan
- 3 sudu minyak masak
- 3 sudu besar sos tiram
- 3 sudu besar kicap pekat
- 2 sudu besar kicap cair
- 1 sudu teh dicampur dengan 1/2 cawan air
- serbuk lada hitam dan lada putih secukupnya

Cara membuatnya:

Tumis bawang putih, halia dan cili kering sehingga naik baunya. Masukkan ayam dan kacau hingga ayam itu masak. Tambahkan serbuk lada hitam dan lada putih. Biarkan sebentar. Masukkan kicap pekat, sos tiram dan kicap cair. Letakkan air dan kacau. Masukkan mee wantan dan sayur. Apabila mee telah lembut, masukkan tepung yang telah dibancuh dengan air. Apabila kuahnya telah pekat, mee boleh diangkat. Sedia untuk dihidang


About Me

Saya berasal dari Kampung Padang 'A', Astana Raja, Kota Negeri Sembilan. Pendidikan awal saya di Sekolah Kebangsaan Astana Raja. Cik gu yang paling saya ingat semasa di sekolah ini ialah Cikgu Hasnah Peral, Cikgu Zaharah dan Ustaz Hussin. Ada sejarah yang penyebabkan saya ingat pada mereka sampai sekarang.

Cikgu Hasnah tu...cikgu pertama di sekolah tersebut manakala Cikgu Zaharah ni...saya selalu bawakan ulam pegaga untuk dia dan dia akan bagi saya duit 20 sen..Ustaz Hussin pula...masa dia tengah mengajar, saya keluar dari kelas untuk minum air. Kemudian dia tanya saya kenapa keluar...saya jawap "saya sakit perut ustaz"...terus dia suruh saya pergi klinik. Sebenarnya saya keluar minum...sedangkan masa tu.......dot dot dot....

Kawan-kawan yang saya ingat namanya sampai sekarang antaranya Hamidah Osman, Hamidah Yusof, Nora Shamsudin, Faridah Doya, Hanita Mohamad dan Nirwana...yang lain...Mohd Hanafiah...(sebab ayahnya cikgu di sekolah)...yang lain tu tak berapa pasti...dah lama sangat..

Secondary School

Keputusan Penilaian Darjah 5 saya tu baik....dapat masuk sekolah berasrama di Sikamat Seremban. Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said....jiran kita Sekolah Tunku Kurshiah.

Masih segar dalam ingatan lagi...sekolah masa dulu-dulu. Masa nak periksa tu...Darjah 5, Kak Lang belikan 5 buah buku untuk saya ulangkaji (semua subjek). Oleh kerana hanya ada 5 buah buku sahaja...sampai saya hafal semua jawapan...bila tengok soalan dah tau jawapannya...tak tau dah berapa kali ulang buku tu....susahnya hidup masa itu.

Bila dapat masuk asrama...masalah juga...kenapa? Mak dan abah tak ada duit. Mujur juga ada padi dalam Ku'i (tempat simpan padi)....jemur semula padi tu dan jual untuk dapatkan duit yuran sekolah (tak ingat berapa jumlah) tapi ada juga masalah lagi...apa pulak? Macamana nak pergi ke sekolah tu...di Seremban. Mujur ada Allahyarham bang Kassim....dia ada kereta...jadi kami sewa kereta dia untuk ke Seremban (45 minit dari rumah pada masa sekarang). Sehari sebelum berangkat tu...mak jual ayam...tak ingat berapa ekor...nak buat tambang dan duit untuk belanja....susah betul ya...

Masa duduk asrama...abah tak boleh datang selalu sebab abah tak ada lesen motor. Alhamdulillah...pak cik Musa...Jaga di sekolah tu tinggal berhampiran dengan kampung kami...jadinya bolehlah mak kirimkan barang pada pak cik Musa. Selalu mak akan kirim ikan bilis goreng bercili dengan kacang tanah....bila ada jer barang mak kirim...pak cik akan panggil dari bawah...Milah ooo Milah...seronoknya bila pak cik panggil...dalam fikiran adalah makanan yang sedap sikit dari makanan asrama hari ni....

Banyak kenangan di sekolah ni...Pengetuanya Ust Haji Mohd Yusof...garang betul...Guru Maths (F3) Cikgu Mat Shah...terima kasih cikgu (duduk di Gedung Lalang, Serembn), Ust Zubaidah Sheikh Ahmad, Mrs Ang (selalu tumpang teacher bila nak ke Seremban)...Guru Sains saya sangat tegas Cikgu Normah (ingat lagi celak di mata cikgu tu)....cik gu Siti Hawa (kami dok kira perkataan "a" cikgu..)...manis sungguh masa tu...

Kenangan paling manis disini.....masyaAllah hanya Allah saja yang tahu....jeng..jeng...jeng ....(malu nak ceritalah) selain itu ...dapat kutu kepala dari kawan-kawan..nak tau siapa?....alamak, dia tu kaki gaduh lah...

Abang angkat saya Abdul Razak...dan adik angkat juga Abdul Razak...yang ingat dia ni orang Dusun Nyiur Seremban..entahlah...habis kat situ jer. Kawan-kawan perempuan.... mana dia orang ni..Zunairah, Zurainah, Khatijah Abu Bakar, Zubaidah Abu Bakar, Norazlina Sidek....ah ramai lagi. Masih berhubung lagi dengan Safiah Abdul Rahman...dan Hafizah ( senior ...lupa panggilannya saya hentam Along...rupanya dia Angah).

Periksa SRP...cemerlang. Seterusnya SPM...cemerlang lagi. Mesti rajin belajar...kita orang susah ( mesti masuk U ). Alhamdulillah...masa belajar disini..saya dapat biasiswa Rm48 sepenggal...banyak masa tu..Kena tambah rajinlah sebab dapat bantuan kerajaan..masa Tingkatan 5 dapat Rm120 sepenggal...banyaknya (masa tu).

Kolej Islam Kelang

Selepas kecemerlangan terbukti dalam SPM, saya ditawarkan tempat untuk belajar bersama kawan-kawan lain yang pandai. Kolej Islam Kelang adalah antara sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan yang terbaik pada masa itu. Sesiapa yang belajar dari sekolah beraliran agama dan lulus cemerlang dalam SRP dan SPM akan ditawarkan tempat untuk belajar di situ. Bagi saya bila saya sudah belajar di KIK maka saya sudah menempah tempat untuk ke universiti. Saya sangat yakin tentang itu.

Semasa di KIK, saya belajar bersungguh-sungguh untuk lulus cemerlang dalam STPM. Sepanjang saya belajar di sana saya mendapat bantuan sepenuhnya dari kerajaan. Asrama saya di Kelang juga berhampiran dengan rumah kakak-kakak saya di Kuala Lumpur. Keadaan menjadi semakin mudah apabila mereka selalu melawat saya diasrama. Saya hanya menumpukan perhatian pada pelajaran saya saja. Alhamdulillah...kesemua lima matapelajaran yang saya ambil telah lulus dengan cemerlang.

Sukacita saya memberitahu bahawa usaha saya memang berbaloi. Ketika semua orang sudah tidur, saya masih lagi belajar. Sebelum semua kawan-kawan bangun dari tidur, saya sudah pun siap sedia untuk ke sekolah. Saya memang rajin belajar sebab saya nak masuk universiti. Pada masa itu tumpuan saya hanyalah pada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Allah yang Maha Mengetahui. Dia telah menentukan segala-galanya. Berkat usaha dan doa saya. Ibubapa saya juga senantiasa mendoakan kejayaan saya. Saya ditawarkan belajar di UIAM dalam jurusan Ekonomi untuk sessi 1986/90. Alhamdulillah....

Dunia