Kuih Sago ini adalah kuih kegemaran sejak dari kecil tetapi susah nak jumpa kuih ini yang bertepatan dengan selera saya. Selalunya kalau saya beli kuih ini, mesti ada sahaja rasa yang tidak memuaskan hati. Akhirnya, semasa saya balik Kuala Lumpur masa cuti musim panas 2009 yang lalu saya telah belajar dari kakak saya. Dia memang pandai membuat kuih tradisional melayu. Sejak dari tarikh itu saya telah pun beberapa kali membuat kuih sago ini di Dubai tetapi sagonya saya beli di Tesco Kuala Lumpur. Sago ada dijual di Geant Dubai tapi tak sama seperti yang dijual di Malaysia. Kuih Sago ini saya buat mengikut selera saya.
Bahan-bahannya :
- 200g sago (sago mata ikan)
- 1 biji kelapa parut putih sahaja(dibahagi 2 bahagian)
- 150g gula merah
- garam secukupnya
- daun pisang untuk membungkus
Cara membuatnya :
Sago tadi hendaklah dibasuh terlebih dahulu dan toskan. Campurkan 1 bahagian kelapa kedalam sago dan gaul sehingga rata. Tambahkan sedikit garam. Tambahkan sedikit garam kedalam satu lagi bahagian kelapa dan gaul hingga rata. Daun pisang yang sudah dibersihkan hendaklah dilayur diatas api dan dipotong mengikut saiz yang sesuai. Ambil sehelai daun pisang dan lipat seperti bentuk 3 segi atau bentuk kon.
Mula-mula masukkan satu sudu sago kemudian letakkan satu sudu kecil gula merah dan kelapa parut. Selepas itu letakkan satu sudu sago pada lapisan yang terakhir. Bungkus kuih tadi dengan melipatkan daun pisang supaya menjadi bentuk seperti pyramid. Ulang proses yang sama sehingga habis sago. Kukus sehingga masak ( tidak kurang dari 30 minit)dan sedia untuk dihidangkan kepada keluarga.