Kuih ini adalah kuih kegemaran kami adik-beradik pada masa dahulu. Mak selalu buat kuih ni dah abah pun boleh tolong juga. Tetapi masa dahulu, kami ni bukanlah dari golongan orang yang ada-ada jadinya nak beli gula merah tu pun berfikir dahulu sebelum membelinya.
Bila kami dah besar-besar dan berkeluarga, mak dah tak buat lagi kerana mak pulak dah tua dan kami pun selalunya akan beli saja. Tetapi, rasanya tak lah sesedap yang mak buat untuk kami dahulu. Terima kasih ya mak...sekarang saya dah tahu rahsia macamana nak buat kuih ini untuk anak-anak saya. Secara kebetulan...anak-anak suka "Cok Peniram".
Resepi :
1 kg tepung beras (2 peket blended rice flour)
1 kg gula merah
2 1/2 cawan air
1 helai daun pandan (sekiranya ada)
Cara membuat :
Masak gula merah bersama air sehingga mendidih dan tapis. Tuangkan sedikit demi sedikit air gula yang masih panas kedalam tepung beras yang sudah tersedia didalam bekas. Kacau dengan senduk sehingga rata. Sekiranya adunan tersebut kelihatan lembik boleh tambah tepung beras sedikit, jangan banyak sangat. Tetapi selalunya saya tidak tuang semua air gula kedalam tepung. Bergantung kepada keadaan adunan. Simpan semalaman sebelum digoreng. Lagi lama disimpan lagi sedap hasilnya keran tepung beras sudah sebati dengan air gula. Tak perlu disimpan dalam peti sejuk. Saya pernah biarkan sampai 3 hari.....wow!!! Hasilnya lagi sedap.
Sebelum kita mula menggoreng, adunan tadi haruslah diuli dahulu bersama sedikit air (untuk melembutkannya). Kemudian diambil sedikit-sedikit lalu dibulatkan seperti guli. Tekan dengan jari untuk mendapatkan bentuk yang bulat dan leper.
Kemudian dilubangkan pada bahagian tengah dan terus digoreng satu persatu.
Kemudian dilubangkan pada bahagian tengah dan terus digoreng satu persatu.
Sekiranya anda mahu bentuk yang lebih cantik ambil adunan tadi (sebesar dua biji guli) dan bulatkan. Tekan dengan jari supaya dia membentuk bulat dan leper. Gunakan chopstik untuk membuat bentuk seperti kelopak bunga dan buatkan lubang pada setiap kelopak dan bahagian tengah. Tangan kita mestilah disapu minyak supaya adunan tidak melekat.
Selesai membentuk boleh terus digoreng...tidak perlu masak terlalu lama sebab tepung sudah masak semasa dicampur dengan air gula tadi. Cukup sekadar kulit kuih itu mengembang. Terbalik sekali kuih yang sedang digoreng dan biarkan seminit. Angkat dan toskan minyaknya...sedia untuk dimakan. Hidangkan bersama Teh 'O' panas, sangat serasi sehingga susah untuk berhenti.
1 comments:
Terima kasih banyak, Saya berasal dari Kg Semerbok Mesjid, sekarang tinggal di Sunshine Coast Queensland. Wah nak cubo buek kuih denderam ni. Dah lamo tak meraso. Dulu uan kito pornah buek, tapi kito jam tu kocik yo, tak ambil tahu cam mano nak buek kueh tu. Tu lah tahu makan yo! Lah ni nasib baik ado jiran kito. Thank you very much. Along Roshid.
Post a Comment