Saya ni sebenarnya tidaklah pandai dalam hal membuat roti. Tetapi disebabkan kami tinggal di Dubai, roti-roti yang ada di sini tidak sama seperti yang saya dah makan sejak 44 tahun. Anak-anak pun sukar nak terima rasa roti-roti di sini. Mungkin kalau rakyat tempatan mereka sudah 44 tahun makn roti yang ada disini...jadinya, ok lah. Roti di sini kalau ada yang boleh dibeli pun harganya sangatlah mahal...."imported product from Western countries".
Anak-anak saya tak mahu membeli makanan di kantin sekolah kerana mahal. Lagipun duit belanja yag kami bekalkan tidak cukup untuk membeli makanan di sekolah. Oleh yang demikian mereka akan membawa makanan dari rumah. Maka, saya harus mempelbagai menu untuk dibawa kesekolah.
Saya tengok resepi dalam internet...jadi kalau ada resepi yang mudah tu saya akan cuba dan saya akan letakkan di sini supaya mudah untuk jadi bahan rujukan saya di masa hadapan. Alhamdulillah...'Chicken Curry Bun' saya ni lembut dan menepati selera keluarga.
Bahan-bahan :
300g tepung gandum
3 sudu gula
60g marjerin
1 sudu teh yeast kering
1 cawan susu suam ( susu pekat pun boleh juga)
1 biji telur
1 cubit garam
1/2 sudu dough softner
1 biji telur dicampur 2 sudu susu segar untuk disapu di atas adunan.
Cara membuatnya :
Mula-mula campurkan yeast kering dengan susu suam. Biarkan sebentar sehingga naik buih. Sementara itu campurkan semua bahan-bahan di atas dan gaul rata. Tuangkan campuran yeast tadi sedikit demi sedikit dan uli sehingga lembut. Sekiranya adunan masih keras saya masukkan sedikit air sehingga adunan betul-betul lembut dan tidak melekat. Saya menguli dengan tangan dan selalunya mengambil masa dalam 30 minit untuk mendapatkan adunan yang lembut.
Biarkan adunan tadi didalam besen dan tutup dengan kain sehingga saiz adunan tadi membesar 2 kali ganda dari saiz asal (selalunya lama masa yang diambil lebih kurang 1 jam). Kemudian saya tumbuk-tumbuk adunan tadi untuk membuat angin. Saya ambil adunan tadi sedikit dan akan timbang seberat 20g setiap satu. Saya leperkan adunan dan letakkan inti yang disukai. Kadang-kadang saya letak inti kelapa tetapi anak-anak suka inti kari ayam. Inti kari ayam ni sama saya buat macam inti karipap, cuma saya kurangkan kentang dan buat pedas sedikit.
Inti 'Chicken Curry Bun'
Bahan-bahan :
300g isi ayam (potong dadu kecil)
3 biji bawang besar (hiris dan potong dadu)
3 ulas bawang putih (cincang)
2cm halia (cincang)
3 sudu besar serbuk kari(bancuh dengan 1 cawan air)
1 tangkai daun kari
3 biji kentang (potong dadu)
1 liter air
garam secukupnya
Tumis bawang putih, halia dan bawang besar sehingga naik bau kemudian masukkan daun kari. Tumis sehingga bahan-bahan kekuningan. Masukkan serbuk kari dan tumis sebentar sehingga masak. Masukkan ayam dan masak sebentar sehingga ayam kecut. Masukkan kentang dan air. Masak sehingga ubi kentang tadi empuk. Jangan lupa letak sedikit garam mengikut cita rasa. Biarkan sejuk sebelum diisikan dalam adunan roti.
Apabila selesai mengisi inti...biarkan adunan tadi mengembang sekali lagi. Apabila adunan sudah sedia untuk dibakar...panaskn oven pada 190*C. Dalam masa menunggu oven panas, sapukan telur yang dipukul dan dicampur 2 sudu susu segar. Terus masukkan ke dalam oven dan bakar selama 15-20 minit. Roti sedia untuk dihidang. Kalau di rumah saya akan membuat roti untuk 2 adunan kerana kalau satu adunan sahaja, tak sempat nak bawa ke sekolah nanti. Habis di meja makan.
0 comments:
Post a Comment